LEICESTER – Kelemahan bahagian tengah Manchester United menjadi punca utama mereka tewas 2-4 kepada Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, The Foxes yang beraksi sebagai tuan rumah menjaringkan gol menerusi Youri Tielemans, Caglar Soyuncu, Jamie Vardy dan Patson Daka, sementara gol United dijaringkan Mason Greenwood dan Marcus Rashford.
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers mengakui kelemahan United di bahagian tengah digunakan sebaiknya oleh pemain-pemain tuan rumah ketika melakukan serangan ke arah pintu gol pasukan pelawat.
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik dan saya perasan bahagian tengah mereka kurang melakukan tekanan terhadap kami, jadi ia beri kelebihan kepada pemain-pemain saya untuk menekan benteng pertahanan mereka.
“Saya akui gol Mason (Greenwood) sangat baik walaupun kami boleh halang dia daripada melakukan jaringan. Permainan kami lebih agresif pada separuh masa kedua dan ia membantu kemenangan pasukan,” katanya.
Pada masa sama, bekas pengendali Liverpool itu yakin mereka mampu menjaringkan lebih daripada empat gol sekiranya barisan serangan Leicester lebih fokus ketika melakukan serangan.
“Inilah permainan sebenar kami yang anda sering saksikan sebelum ini. Kami langsung tidak benarkan pasukan lawan untuk memegang bola terlalu lama. Jika lebih fokus, kami mungkin mampu jaringkan lebih banyak gol,” ujar Rodgers. – AGENSI