PETALING JAYA – Sejak kebenaran merentas negeri diumumkan Isnin lalu, pelbagai klip video telah dihasilkan orang ramai mengenai kisah pertemuan mereka dengan keluarga yang terpisah lama.
Pelbagai reaksi orang ramai boleh dilihat sama ada suka, sedih mahupun menyampah dengan penghasilan klip-klip video di media sosial sejak kebelakangan ini.
Namun lain pula reaksi apabila satu klip video yang berdurasi 1 minit 21 saat ini, rata-rata orang ramai menyifatkan video ‘prank’ ini paling menyedihkan.
Melalui video yang dikongsi di TikTok @tokder1446, seorang pemuda cuba membuat ‘prank’ kepada ibunya setelah lama tidak berjumpa dengan menyamar sebagai petugas kesihatan.
Pada awalnya, pemuda tersebut cuba menemubual ibunya dengan bertanyakan tinggal berapa orang di rumah dan menerangakan tentang bahaya virus Covid-19.
Namun, sesi ‘temuduga’ tersebut tidak lama apabila ibunya mengetahui di sebalik baju tersebut adalah anak lelakinya dan wanita terbabit terus menangis dengan kuat.
“Dalam banyak-banyak video, aku rasa yang ini paling sedih aku tengok. Betapa rindunya ibu dia, mungkin sudah lama betul tak jumpa kerana anaknya adalah petugas barisan hadapan,” jelas Corrie Elina.
“Ya Allah, kali ini aku sebak, aku rasa apa yang ibu dia rasa, rindu yang teramat kuat terhadapa anaknya. Berjasalah anak kepada ibu mu itu kerana itu syurga kamu,” jelas Irdiyana_safura. -K! ONLINE.