PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima Ketua Pegawai Eksekutif baharu apabila Datuk Mohd. Nizom Sairi dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa esok.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, beliau yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) akan menggantikan Datuk Seri Dr. Sabin Samitah yang dipendekkan kontrak oleh kerajaan.
“LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Sabin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDN,” kata kenyataan itu hari ini.
Mohd. Nizom, 58, yang memegang ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat mula berkhidmat di LHDN pada 13 November 1985 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang percukaian langsung.
Ia merangkumi operasi percukaian, pematuhan dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.
Sebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Mohd. Nizom juga pernah memegang beberapa jawatan penting di LHDN merangkumi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan LHDNM, Pengarah Akademi Percukaian Malaysia, Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai serta Pengarah Negeri LHDNM Perak.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) sebelum ini.
“LHDNM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Mohd. Nizom Sairi atas pelantikan ini.
“Dengan pengalaman luas Mohd. Nizom ini sudah pastinya akan membolehkan LHDN mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina sebuah Keluarga Malaysia yang terangku,” katanya. – K! ONLINE