TANJUNG MALIM – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 60 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta di kawasan rehat dan rawat (R&R) Behrang arah selatan di sini, kelmarin.
Dia yang dalam perjalanan dari Kedah ke Selangor itu belum lengkap dua dos suntikan vaksin tetapi telah membuat pergerakan merentas negeri.
Tangkapan ke atas lelaki berusia 53 tahun pada pukul 11 malam itu dilakukan sepasukan anggota yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ketika ditahan lelaki terbabit berada dalam kereta jenis Toyota Camry.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan tujuh guni berisi daun disyaki daun ketum seberat 60 kg dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,400.
“Satu kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (PPN) 2021 iaitu rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap,” katanya di sini hari ini.-K! ONLINE