BUAT julung kalinya dalam penganjuran acara terbesar komuniti indie tempatan, TAPAUfest 2021 mencipta sejarah apabila bakal menggabungkan persembahan penyanyi dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Apa yang lebih menarik TAPAUfest yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini buat pertama kalinya diadakan secara virtual sesuai dengan tuntutan norma baharu kerana pandemik Covid-19.
Menurut Pengarah Konsert dan wakil TAPAUasia Sdn. Bhd. Ahmad Faris Abdul Hamid, selepas hampir dua tahun karyawan seni terpaksa berehat daripada persembahan pentas, mereka kini harus menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta berfikir di luar kotak untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Di luar negara sudah banyak festival muzik berjalan seperti biasa dan kebanyakannya dianjurkan secara virtual. Namun, di Malaysia masih belum ada acara seperti itu.
“Jadi, saya rasa terpanggil untuk mengembalikan festival muzik menerusi TAPAUfest, tetapi menggunakan teknologi dan disesuaikan dengan norma baharu.
“Sekarang memang agak mustahil untuk menganjurkan festival besar, jadi pilihan yang kita adalah secara virtual. Oleh sebab itu, Tapaufest kali ni cukup berbeza kerana turut menampilkan persembahan dari Indonesia dan Singapura,” ujar Ahmad Faris.
Ditebak, bagaimanakah pihak TAPAUfest mahu menyakinkan penonton untuk menonton konsert berbayar secara virtual. Hal ini kerana, kualiti persembahan secara langsung dengan virtual pasti berbeza.
Bercakap tentang perkara tersebut Ahmad Faris mengakui, konsert virtual tidak akan dapat menggantikan suasana dan adrenalin konsert secara langsung.
Biarpun begitu, dengan persediaan yang dilakukan, pihaknya yakin TAPAUfest 2021 yang akan berlangsung selama 14 jam dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam waktu tempatan itu dapat mencipta pengalaman sebenar festival kepada penonton.
“Walaupun suasananya pasti berbeza dengan konsert secara langsung, namun kita akan menjadikan TAPAUfest kali ini lebih menarik supaya keseronokkan festival tetap dirasai penonton meskipun mereka hanya menonton dari rumah.
“Sistem audio dan visual menjadi keutamaan kami. Oleh sebab itu, lokasi persembahan di setiap negara akan berlangsung di studio rakan kongsi TAPAUfest iaitu Qun Films dari Jakarta, MonoMonday (Singapura) dan Krom Studio (Malaysia),” kata Ahmad Faris.
Zee Avi
Penyanyi popular Zee Avi yang memegang rekod sebagai anak Malaysia pertama memiliki album tersenarai dalam carta US Billboard Hot 200 antara yang bakal memeriahkan pentas TAPAUfest.
“Disebabkan pandemik banyak perkara tergendala, tetapi sekarang saya berada di Malaysia. Saya teruja dan tidak sabar untuk beraksi di pentas TAPAUfest.
“Perancangan untuk persembahan di TAPAUfest saya mahu beri sesuatu yang berbeza. Di atas pentas nanti hanya akan ada saya dan pengarah muzik, Santosh Logandran.
“Saya akan memberi nafas segar untuk beberapa buah lagu dan akan menyanyikan semula semula sebuah lagu lama dari era 70-an. Itu antara kejutan dan diharap penonton akan memberi sokongan,” kata Zee Avi.
Selain Zee Avi, penyanyi Malaysia yang dipilih untuk berada di pentas TAPAU fest adalah kugiran ska dari Johor, Plague of Happiness, No Good dan Gard Wuzgut.
Tidak ketinggalan, Force Vomit dan Subsonic Eye pula dari Singapura, manakala kumpulan Sore, Fleur! dan The Panturas dari Indonesia.
TAPAUfest 2021 menyajikan tiga komponen utama iaitu Pentas (persembahan muzik secara langsung), Bengkel ( belajar perkara baharu secara langsung) dan Layar (tayangan perdana produksi secara langsung).
Acara selama 14 jam tersebut akan dikendalikan oleh aktor Iedil Putra yang akan dari Indonesia dan Sharifah Amani bersiaran di Malaysia.
Buat mereka yang ingin menyaksikan persembahan di TAPAUfest tiket boleh dibeli pada harga RM30 (individu) untuk Kombo Asas, RM50 (Kombo Gerek), RM100 (Kombo Keren) dan RM150 (Kombo Sempoi).
Tiket berkumpulan untuk empat orang pula dijual pada harga RM110 untuk Kombo Asas, RM180 (Kombo Gerek) dan RM360 (Kombo Keren) sehingga 29 Oktober 2021. Tiket individu dijual pada harga RM50 pada hari festival berlangsung.
Semua tiket boleh dibeli secara online menerusi laman web, www.TAPAUfest.asia.