PETALING JAYA – Bank Rakyat sekali lagi menganjurkan Kempen Emas 2 Kilo berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan saban tahun.
Kempen tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-Rahnu selain menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan kemudahan pajak gadai berlandaskan syariah.
Kempen yang berkonsepkan ‘Gadai dan Menang’ itu berlangsung selama tiga bulan bermula pada 15 Oktober 2021 lalu sehingga 15 Januari 2022. Antara tarikan utama ialah tiada had minimum dan tempoh gadaian bagi melayakkan pelanggan menyertai kempen ini.
Menerusi kempen kali ini, jumlah keseluruhan hadiah berupa dua kilogram emas bernilai lebih RM500,000 ditawarkan kepada 101 pemenang. Pemenang hadiah utama akan menerima satu kilogram emas manakala hadiah sagu hati bagi 100 pemenang akan menerima 10 gram emas setiap seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kempen tersebut bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang nilai emas sebagai aset berharga dan boleh digadaikan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya usahawan dalam menangani situasi pasca pandemik Covid-19.
“Seiring aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Bank Rakyat turut menyasar melahirkan ‘bangsa usahawan’ menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut yang menjurus kepada usaha membantu kumpulan sasar yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
“Pembiayaan Pajak Gadai-i dapat membantu lebih ramai usahawan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan serta sebagai alternatif pembiayaan yang berupaya membangunkan perniagaan individu, khususnya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana melalui aliran tunai segera sehingga RM350,000 dengan kadar keuntungan yang rendah,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menerusi kempen kali ini, Bank Rakyat menyasarkan kenaikan pengeluaran pembiayaan Pajak Gadai-i sebanyak 20 peratus dan pertambahan pelanggan sebanyak 2 peratus hingga 5 peratus pada akhir tahun ini.
“Melalui Kempen Emas 2 Kilo tahun lalu berjaya merekodkan peningkatan positif bagi pengeluaran pembiayaan sehingga 31 peratus iaitu sebanyak RM1.07 bilion berbanding tahun sebelumnya. Kempen yang berlangsung dari 15 Julai 2020 sehingga 15 November 2020 menyaksikan jumlah penyertaan melebihi 200,000.
“Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Emas 2 Kilo, pelanggan boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau hubungi pusat panggilan Bank Rakyat di talian 1300805454 atau kunjungi mana-mana cawangan dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat,” jelasnya. – K! ONLINE.