fbpx

Derita ibu tunggal hidap kanser hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusliza (kanan) bersama anaknya Nur Batrisyia (tengah) ketika menerima kunjungan Nasaruddin Ahmad (kiri) bagi menyerahkan bantuan wang tunai kepada keluarga itu di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Seorang ibu tunggal di Felda Air Tawar 2 di sini bukan sahaja perlu tabah untuk membesarkan anak orang kelainan upaya (OKU) seorang diri, malah turut berjuang melawan kanser hati tahap empat yang dihidapinya.

Yusliza Md. Yunos, 37, berkata, kanser tersebut dikesan pada tahun lepas apabila doktor mengesan terdapat ulser pada ususnya selepas dia muntah-muntah serta tidak boleh bangun.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan doktor mengesahkan dia telah menghidap kanser hati.

“Doktor memaklumkan bahawa saya tiada harapan untuk sembuh sebab hati saya tidak lagi boleh diselamatkan.

“Pelbagai ikhtiar saya lakukan termasuklah rawatan tradisional, namun mereka juga memaklumkan hati saya sudah teruk.

“Sekarang saya bergantung dengan ubat suntikan yang perlu diambil tiga kali sehari. Ubat itu untuk tahan sakit. Satu suntikan berharga RM239. Alhamdu­lillah apabila ambil suntikan itu dapat membantu mengurangkan sakit kerana saya tidak menjalani kimoterapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan sempena Ziarah Kasih Kami Anak Felda (KAF) oleh Pengerusi KAF Wilayah Johor Bahru, Nasaruddin Ahmad di rumahnya semalam.

Yusliza berkata, dia yang kini menetap di rumah keluarganya hanya bergantung hidup dengan duit simpanan yang ada untuk rawatan selain bantuan daripada keluarga.

Kata Yusliza, anaknya, Nur Batrisyia Mokhtar, 7, tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak normal lain dan memerlukan tongkat untuk bergerak kerana mengalami masalah kaki.

“Dari segi pelajaran, anak saya itu normal, cuma kakinya tidak boleh berjalan dan masih menjalani rawatan terapi di Hospital Sultan Ismail.

“Anak saya mendapat bantuan bulanan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun Bank Islam 01069027780521 milik Yusliza Md. Yunos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI