HARI ini genaplah lapan hari aktiviti merentas negeri telah dibenarkan kerajaan. Dalam tempoh itu, penulis lihat ramai peniaga-peniaga khususnya penjaja kecil mula senyum sampai ke telinga dek penangan kebenaran merentas negeri.
Alhamdulilah, semuanya gembira, rezeki juga bertambah.
Namun, apa yang tidak sedap didengar apabila masih ada golongan antivaksin yang tidak habis-habis cuba menyebarkan dakyah palsu mengenai vaksin.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.
Menerusi akaun Twitternya Khairy Jamaluddin menegaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap segelintir kumpulan antivaksin.
Khairy Jamaluddin menerusi ciapannya telah membalas ciapan seorang pakar perubatan keluarga, Dr. Sakinah Sulong yang mempersoalkan sama ada ‘geng’ antivaksin di negara ini kebal daripada tindakan pihak berkuasa berikutan masih bebas menyebarkan dakwaan dan berita palsu.
Sebelum itu, Dr. Sakinah ada memuat naik tangkap layar dipercayai oleh kumpulan antivaksin menerusi aplikasi Telegram yang antara lain mendakwa ada remaja yang disuntik vaksin Covid-19 mendapat kesan sampingan yang teruk dan meninggal dunia.
Bagi pengamal undang-undang yang juga peguam, Muhammad Amin Abdullah berpendapat, sudah tiba masanya golongan antivaksin yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin ditangkap, didakwa serta dikenakan hukuman yang setimpal sekiranya didapati bersalah.
“Penyebaran berita palsu melalui media sosial secara amnya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, penyebar berita palsu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjaran sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat juga boleh mengekang penyebaran berita palsu oleh golongan antivaksin dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Tambahnya, pendakwaan dan hukuman yang dikenakan akan mampu memberi pengajaran bukan sahaja kepada golongan antivaksin, malah sesiapa sahaja yang cuba memutar belit fakta berkenaan vaksin.
Minggu lalu, media melaporkan KKM akan terus komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin, malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.
Laporan lain turut menyebut, KKM berkemungkinan mewajibkan golongan yang menolak atau melengahkan pengambilan vaksin untuk menjalankan ujian calit Covid-19 secara mingguan dan kerajaan tidak akan menanggung perbelanjaan itu.
Setakat ini, golongan yang belum menerima vaksin tidak boleh rentas negeri, dine-in, memasuki pusat beli-belah dan banyak lagi.
Dijangkakan lebih banyak batasan yang akan ditetapkan kerajaan kemudian.
Akhir kata penulis selalu ingatkan pada diri penulis sendiri ‘ambil vaksin bukan untuk cantik dan montok, tetapi untuk kesihatan dan keselamatan.’