GEORGE TOWN – Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Tanjung Bungah di sini bertukar tragedi apabila anak bongsu mereka berusia enam tahun ditemui maut dipercayai terjatuh dari hotel tempat mereka menginap hari ini.
Difahamkan kejadian kira-kira 11.30 pagi itu berlaku selepas kanak-kanak tersebut meluru memasuki lif ketika pintunya terbuka tanpa sempat disertai ahli keluarganya apabila pintu tertutup dengan pantas.
Keluarga dari Sungai Petani, Kedah itu dikatakan baru selesai mandi di kolam renang dan sedang menuju ke bilik.
Ahli keluarga mangsa kemudiannya dikatakan cuba mencari kanak-kanak itu kira-kira 10 minit sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tingkat satu hotel dan meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Mangsa merupakan kanak-kanak enam tahun dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ringkas. – K! ONLINE