IPOH – Memiliki beg tangan berjenama mewah semestinya memberi satu kepuasan kepada si pemakainya selain menjadi lambang serta prestij diri.
Tidak semestinya yang mewah itu mahal, ada alternatif lain yang lebih mampu milik iaitu dengan mendapatkannya menerusi barangan milik persendirian yang dijual secara terus atau istilah popularnya, preloved.
Membeli barangan preloved sudah tentu menguntungkan sekiranya aspek harga menjadi faktor utama.
Dengan membeli barangan preloved, pengguna dapat memiliki barangan asli berjenama terkenal yang kebanyakannya dijaga dengan baik atau hanya digunakan beberapa kali oleh pemilik asal.
Sebab itulah butik Ipoh Luxury Branded Store (ILBS) yang terletak di Jalan Lebuh Medan Ipoh 7, Bandar Baru Medan, Ipoh dikatakan umpama syurga beg tangan wanita berjenama yang mampu memenuhi keinginan naluri dan cita rasa pencintanya.
Enam jenama beg preloved terkemuka yang dijual di sini adalah Louis Vuitton (LV), Gucci, Hermes, Chanel, Prada dan YSL.
Pemilik butik ILBS, Datuk Kamariah Othman berkata, terdapat lebih 300 koleksi beg preloved berjaya dikumpulnya sejak setahun lalu dan kini sedia untuk dilepaskan.
Katanya, beliau mahu golongan pertengahan turut mampu memiliki beg berjenama terkenal yang sememangnya menjadi impian ramai wanita.
“Walaupun ia adalah beg preloved tetapi kualitinya masih baik, malah kebanyakan kelihatan seperti baharu.
“Saya sentiasa memastikan semua produk di butik ini berjenama asli dan dibuat daripada kulit asli serta berkualiti tinggi,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Butik ini mempamerkan pelbagai beg tangan sentuhan fesyen terkini bersama ciri-ciri kontemporari bagi menyerlahkan lagi keterampilan si pemakainya.
Beg-beg ini dibeli di Amerika Syarikat, Jepun serta Korea Selatan dan terdapat pilihan yang sesuai untuk semua peringkat usia.
Jelas Kamariah atau lebih mesra dipanggil Maria, para pelanggan yang membeli tujuh beg berharga RM500 setiap satu dalam satu resit akan turut menerima hadiah barangan kemas 916.
Bagi yang membeli 15 buah beg dalam satu resit pula, mereka akan menerima rantai leher atau rantai tangan emas bernilai lebih RM1,000.
Pelanggan yang membeli tiga buah beg turut diberi hadiah misteri dan apa yang menarik, tawaran itu dibuka setiap hari.
“Selain berpeluang mendapatkan hadiah barangan kemas, pelanggan juga secara tidak langsung akan menderma kepada tabung kebajikan gelandangan pada kadar 10 peratus daripada nilai jualan, yang digunakan bagi membeli makanan untuk diagihkan kepada gelandangan sekitar Ipoh.
“Ini merupakan aktiviti peribadi saya dalam membantu golongan memerlukan, terutamanya sewaktu pandemik ini,” katanya yang juga merupakan perunding perkahwinan dan usahawan produk penjagaan kulit.
Tegas Maria, setiap beg preloved dijual dengan jaminan selama tiga bulan dan sekiranya terdapat kerosakan pada mana-mana bahagian, pelanggan boleh memulangkannya semula dalam tempoh tersebut.
“Setakat ini, para pelanggan sangat berpuas hati terhadap kualiti beg kami dan akan kembali semula ke butik bersama kenalan lain untuk menambah koleksi mereka,” tambahnya.