KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengetahuan sejak 2014 berhubung penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepada beliau.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, perkara itu dibuktikan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan bahawa Ahmad Zahid menjalankan pemeriksaan penyata bank dan buku cek sekali atau dua kali setahun.
Hujah beliau, pihak pembelaan mengetengahkan isu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri tidak menyedari sepenuhnya penggunaan cek Yayasan Akalbudi.
Sebaliknya pendakwaan menyatakan, Ahmad Zahid mengetahui perkara itu dan menuding jari kepada Mazlina dalam usaha menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif beliau sebagai kambing hitam (scapegoat) untuk menanggung perbuatannya.
Hujah pendakwaan, pada awal 2016, wujud khabar angin bahawa SPRM mula menjalankan siasatan terhadap Ahmad Zahid menyebabkan Mazlina diarah oleh tertuduh agar tidak menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit, sebaliknya bayaran dijelaskan secara tunai.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan agar Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ini kerana pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dengan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan tidak goyah ketika sesi soal balas.
Pendakwaan turut menyatakan, Mazlina merupakan saksi pendakwaan yang boleh dipercayai dan seorang yang konsisten bukan sahaja ketika disoal balas oleh pembelaan, malah sewaktu sesi pemeriksaan utama dan pemeriksaan semula.
Hujah Raja Rozela, selaku saksi utama pendakwaan, Mazlina secara tegas menyatakan beliau mematuhi arahan Ahmad Zahid pada setiap masa termasuk berhubung isu penggunaan cop tanda tangan yang hanya dibenarkan untuk pembayaran kad kredit. -K!ONLINE