PUTRAJAYA – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H pada Rabu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di Istana Negara secara tertutup dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepenuhnya.
Beliau berkata, sambutan pada kali akan memartabatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul.
“Ia bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang berkelayakan dalam memberi sumbangan kepada ummah dan negara.
“Penerima anugerah diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kemuncak utama program adalah titah baginda dan pengumuman Penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul.
Menurutnya, Program Citra Cinta Rasul itu akan disiarkan secara langsung di TV1 dan Nasional FM bermula malam ini dari jam 9 hingga 10.30 malam
Ujarnya, siaran langsung di Minnal FM, Ai FM, Asyik FM dan TraXX FM pula akan disiarkan antara 9 hingga 10.30 malam. – K! ONLINE