KEPONG – Dua pekerja lelaki di sebuah kedai buah-buahan berdepan detik cemas selepas kedai tersebut terlibat dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian di Bandar Manjalara, Kepong kira-kira pukul 2 pagi itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Jinjang dan Sentul telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah kedai buah-buahan 2 tingkat.
“Terdapat dua mangsa lelaki berusia 56 tahun (warga Bangladesh) dan berusia 30 tahun (warga Indonesia). Mangsa warga Indonesia terbabit mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan dan berjaya dikeluarkan dengan selamat.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas kesihatan dari Hospital Selayang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian dan menyebabkan premis berkenaan musnah 100 peratus.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – K! ONLINE.