SELAMA – Sebanyak 100 tan barang-barang elektrik dan gajet elektronik terpakai disasarkan untuk dikumpul menerusi program pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (E-waste) di negeri ini melibatkan kerjasama 15 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, program itu juga diharap dapat menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar selaras dengan dasar kerajaan negeri melalui tema Perak Bumi Lestari.
Menurut beliau, pelaksanaan program secara bersepadu itu juga diadakan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Perak.
“Melalui penganjurannya diharap dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama antara agensi-agensi di bawah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar di negeri Perak.
“Ia juga dapat membudayakan masyarakat untuk menguruskan buangan e-waste secara mesra alam dan lestari,” ujarnya semasa berucap pada majlis perasmian program berkenaan di Masjid Ar-Rashdiah di sini semalam.
Sehingga 7 Oktober, berat E-Waste terkumpul oleh warga Selama adalah sebanyak 1.418 tan dan jumlah ini dijangka meningkat.-K! ONLINE