fbpx

Penganggur maut kemalangan di Paka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal Demak ZR110 dan kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan di KM 99, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Paka, Dungun hari ini.

DUNGUN – Seorang penganggur maut selepas motosikal jenis Demak ZR110 yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 99, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran sebuah stesen minyak di Paka di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.50 pagi itu, mangsa, Amran Sembok, 56, yang berasal dari Kampung Medan Pungguk, Paka dekat sini meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pemandu kereta Proton Saga yang berusia 27 tahun pula mengalami kecederaan pada bahagian muka.

“Sewaktu kejadian, pemandu kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berasal dari Kuala Besut tersebut dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Demak ZR110 yang dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba menukar haluan dari kiri ke kanan jalan menyebabkan kereta Proton Saga terbabit gagal mengelaknya.

“Rempuhan itu kemudiannya menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, mayat Amran telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI