AKTRES Meera Chopra yang juga sepupu kepada pelakon Priyanka Chopra membuat laporan polis dan bakal memfailkan tuntutan saman terhadap seorang pereka hiasan dalaman, Rajinder Dewan atas dakwaan menipu.
Ujar Meera, penipuan yang dilakukan Rajinder menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak 17 lakh (RM93,754). Bahkan, apa yang membingungkan, pelakon itu turut mendakwa telah dihalau keluar dari rumah sendiri oleh pereka hiasan dalaman tersebut.
“Saya bersetuju menandatangani perjanjian ubah suai rumah bernilai lebih RM93,000 dan telah membayar separuh daripada jumlah tersebut kepada Rajinder.
“Selepas membayarnya, saya pergi ke Benaras untuk menjalani penggambaran di sana,” jelas Meera.
Kata pelakon itu, selepas pulang dia mendapati Rajinder menggunakan material murah dan memintanya untuk menukar semula kepada bahan yang lebih berkualiti.
Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dilayan, bahkan masih ada beberapa bahagian di dalam rumahnya yang masih terbengkalai untuk diubah suai.
“Dia kemudiannya meminta baki bayaran yang belum dibayar, tetapi saya enggan membayarnya sehingga dihalau keluar dari rumah sendiri,” jelas Meera yang turut mendakwa lelaki itu telah bertindak kasar dengannya.