KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, Brad Maloney gembira dengan persembahan dipamerkan anak-anak buahnya selepas bangkit menewaskan Penang FC 2-1 dalam aksi persahabatan di Arena MBSJ, Subang Jaya kelmarin.
Kemenangan ke atas pasukan tempat ketiga Liga Super itu pastinya menyemarakkan semangat dan meningkatkan motivasi barisan pemain yang dalam persediaan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia minggu depan.
“Saya membuat penggiliran pemain dengan membawa masuk ramai muka baharu dalam kesebelasan utama. Banyak aspek positif dilihat dalam aksi ini.
“Secara keseluruhan saya gembira kerana kami berupaya memegang penguasaan bola walaupun bolos dalam babak pertama sebelum beberapa tenaga baharu dibawa masuk di separuh masa kedua.
“Bagus buat pemain kerana berjaya meraih keputusan ini. Saya harap kami dapat terus menunjukkan peningkatan dalam aksi (persahabatan) ketiga menentang Kedah (Darul Aman FC),” kata Maloney.
Penang membuka tirai jaringan menerusi Amer Azahar pada minit ke-22 sebelum skuad B-22 negara bangkit memenangi perlawanan dengan dua gol daripada Syafik Ismail dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-71 serta 86.
Malaysia B-22 sebelum ini tewas 1-3 kepada juara Liga Premier, Negeri Sembilan FC pada aksi persahabatan pertama sebelum melengkapkan fasa persediaan menentang Kedah hari ini.
Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand dengan juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Uzbekistan, Jun depan.