fbpx

Lysa idam miliki Ducati Panigale

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LYSA mengimpikan lelaki yang mempunyai minat yang sama iaitu superbike.

Memiliki rupa paras cantik, tubuh langsing dan senyuman yang menawan merupakan satu bonus buat gadis Pesona Ahad pada minggu ini.

Baru berusia 24 tahun, Nur Alyssa Ahmad Zalilan atau lebih mesra dipanggil Lysa sudah mengorak langkah awal untuk mengejar impiannya sebelum mencecah umur 30 tahun.

Walaupun memiliki kerjaya sebagai staf pentadbiran di sebuah syarikat pengeluar automotif terkenal, namun anak sulung daripada dua adik-beradik itu tidak betah duduk diam, sebaliknya mencari pendapatan sampingan dengan berniaga.

Gadis dari Puncak Alam, Selangor ini mahu memiliki aset sendiri termasuk motosikal berkuasa tinggi dan membahagiakan kedua-dua orang tuanya. Ikuti temu bual Lysa bersama Kosmo! Ahad:

Kosmo! Ahad: Ceritakan serba ringkas mengenai diri Lysa?
Lysa: Saya merupakan kakitangan di Peugeot cawangan Setia Alam, Selangor dan pada pada sama membantu keluarga dalam perniagaan makanan iaitu Ikan Bilis Salted Egg Belanz. Saya juga menjadi ejen bagi produk penja­gaan rambut. Selain mendapat wang sampingan, dengan menyertai bisnes saya dapat menimba pengalaman dan pe­ngetahuan supaya satu hari nanti mana tahu saya dapat fokus sepenuhnya dalam bidang perniagaan.

Aktiviti masa lapang?
Saya banyak menghabiskan masa di rumah (sekiranya tidak bekerja). Bertemu rakan-rakan hanya sekali dalam seminggu. Sebenarnya saya meminati motosikal berkuasa tinggi mungkin sebab dipengaruhi oleh ayah. Sejak kecil, saya selalu mengikut ayah meronda kampung.

Lysa turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menimba pengalaman.

Motosikal pilihan Lysa?
Sebelum ini, saya memiliki motosikal Yamaha R25, tetapi sudah dijual pada tahun lalu kerana masalah kewangan. Saya pernah menyertai konvoi dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Ayah saya sangat menggalakkan anak-anaknya memiliki superbike dan menyertainya berkonvoi. Itu adalah impian kami dua beranak untuk berkonvoi bersama. Bagi saya, menunggang superbike merupakan satu kebebasan.

Perancangan masa depan?
Pertama, saya mahu membeli superbike. Saya meminati motosikal BMW HP4 Race dan Ducati Panigale, jika mengikut bajet pula motosikal Honda CBR dan Yamaha R6. Selain itu saya juga mahu mengukuhkan kewangan dengan memiliki aset sendiri seterusnya membawa ibu dan ayah menunaikan haji. Secara peri­badinya, saya berpendapat wa­nita perlu memiliki aset se­perti rumah dan kenderaan, tidak boleh bergantung 100 peratus dengan pasangan (suami).

Sepanjang 24 tahun, boleh kongsikan pengalaman yang mungkin sukar dilupakan?
Ibu dan ayah berpisah semasa saya berusia 18 tahun. Saya terpaksa melalui kesukaran membahagikan masa memandangkan mereka tinggal jauh di negeri yang berlainan.

Perkara yang membahagiakan Lysa?
Semangat yang tidak pernah putus-putus daripada rakan-rakan. Mereka sentiasa mengingatkan saya untuk fokus dalam mengejar impian.

Ciri lelaki impian anda?
Mempunyai hobi dan minat yang sama supaya dapat mewujudkan keserasian. Misalnya lelaki yang minat superbike seperti saya. Sekiranya dapat pasangan yang mempunyai minat sama itu adalah bonuslah. Dalam masa sama, saya sukakan lelaki bertanggungjawab.

Kerajaan sudah membenarkan rentas negeri, lokasi pertama yang mahu dituju?
Saya bercadang untuk bercuti di Terengganu. Selepas itu saya mahu pergi ke Kelantan pula melawat keluarga angkat di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN