LONDON – Teman wanita kepada bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo menerima hadiah mewah berupa sebuah peti simpanan barang kemas berjenama Louis Vuitton berharga £108,000 (RM615,213) daripada pemain sensasi itu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Peti simpanan barang kemas Louis Vuitton Malle Vendome itu akan digunakan untuk menyimpan koleksi barang kemas Georgina Rodriguez yang dianggarkan bernilai £2.6 juta (RM14.8 juta).
“Saya kehilangan kata-kata, Cristiano,” demikian kenyataan ditulis Rodriguez dalam media sosialnya.
Peti tersebut mempunyai ketinggian 137 sentimeter dan dilengkapi dengan cermin untuk mempamerkan barang kemas termasuk set rantai berlian dan subang paling berharga miliknya bernilai £78,000 (RM445,783) yang digayakannya semasa Festival Filem Venice bulan lalu.
Disifatkan sebagai ‘ciptaan romantis’, bekas ikonik itu mula dihasilkan pada tahun 1910 untuk pelanggan ‘terbaik’ Louis Vuitton. – AGENSI