IPOH – Cubaan enam pemandu kenderaan untuk memasuki Kelantan gagal apabila diarah berpatah balik kerana tidak lengkap suntikan vaksinasi Covid-19.
Arahan itu dikeluarkan kepada mereka semasa diperiksa pada sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Sungai Lebey, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat beberapa kenderaan di mana pemandu dan penumpang didapati tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Pemandu kenderaan ini mencuba nasib untuk pulang ke Kelantan, namun tidak bernasib baik semasa pemeriksaan di SJR apabila gagal menunjukkan pengesahan sudah lengkap divaksinasi.
“Mereka kemudiannya diarahkan berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas gambar tular kesesakan di JRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan, beliau memberitahu kejadian itu berlaku kelmarin pada pukul 4 petang.
Katanya, kenderaan bergerak perlahan dalam jarak 1.5 kilometer (KM) dari SJR di KM 9 Sungai Lebey di mana pemeriksaan secara teliti dijalankan petugas SJR ke atas pemandu dan penumpang kenderaan.-K!ONLINE.