PUTRAJAYA – Tindakan berani seorang kanak-kanak menyelamatkan moyangnya daripada dihanyutkan arus deras sewaktu tragedi kepala air di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu mendapat pengiktirafan apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah.
Muhammad Hadif Syazwan Anas, 11, menyelamatkan moyangnya, Kalsom Abdullah, 85, dengan berpaut pada tiang namun, kehilangan moyang lelakinya, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang lemas selepas dihanyutkan arus deras.
Mengimbas kembali tragedi tersebut, murid sekolah Rendah Agama Al-Akhlak Al-Islamiah, Guar Chempedak itu berkata, sewaktu kejadian dia bersama keluarga serta kedua-dua moyangnya berada di rumah.
“Hujan lebat dan lama kelamaan air masuk ke rumah dan semakin tinggi. Saya ke bilik tengah yang menempatkan tokwan (moyang lelaki) dan tok (moyang perempuan) untuk melihat keadaan mereka manakala, ibu ketika itu bersama adik yang sedang menangis.
“Lama kelamaan, dinding rumah pecah dan kami bertiga dihanyut air deras keluar dari rumah,” katanya kepada media ketika ditemui pada sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2021 di sini hari ini.
Muhammad Hadif menerima hadiah wang bernilai RM5,000 beserta sijil yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Dalam pada itu, anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia kemudian tersangkut pada pokok manakala, Kalsom pula tersangkut bersama tilam tidak jauh dari tempatnya.
“Saya bergerak ke arah tok dan memegang tangannya sambil berpaut pada tiang. Kemudian, ayah saya datang dan membawa kami ke rumah. Bagaimanapun, saya tidak nampak tokwan,” katanya.
Dalam pada itu, ibunya, Nor Hidayah Yusoff, 36, berkata, ketika kejadian suaminya, Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, sedang mengangkut barangan ke stor di luar rumah sebelum dinding di rumah mereka pecah.
Pada 22 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan, mayat Ku Shuib ditemui di bawah timbunan batang pokok di sebuah chalet dekat Air Terjun Batu Hampar oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa yang merupakan bekas imam Masjid Yan ditemui di bawah timbunan batang pokok di kawasan sungai yang baru terbentuk berhampiran Sungai Batu Hampar. -K!ONLINE