MANCHESTER – Pemain sayap lincah Manchester City, Raheem Sterling mempertimbangkan hasrat untuk meninggalkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Sterling, 26, cuma diturunkan bermain selama 274 minit permainan daripada tujuh perlawanan EPL bersama City musim ini dan sekadar meledak satu gol sahaja.
Situasi Ferran Torres yang mengalami kecederaan ketika ini masih belum memberikan sebarang kepastian terhadap peluang Sterling diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Burnley di Stadium Etihad malam ini.
“Saya bukan seorang yang suka mengeluh dan memperbesar-besarkan keadaan. Saya akan fokus kepada tugas untuk meningkatkan diri sebagai pemain.
“Namun, bola sepak adalah segala-galanya bagi saya. Tiada mana-mana pemain yang gemar apabila dia tidak bermain, apatah lagi gagal menjaringkan gol dalam perlawanan.
“Saya terbuka jika ada peluang untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan. Mungkin satu hari nanti saya dapat merasai cabaran beraksi dalam saingan di luar negara,” kata Sterling.
Difahamkan, pemain sayap antarabangsa England itu sedang mempertimbangkan peluang untuk menyertai gergasi La Liga, Barcelona secara pinjaman kerana kontraknya cuma berbaki 18 bulan dengan The Citizens.
Bagaimanapun, Sterling sedia memikat semula hati pengurus City, Pep Guardiola jika diberi peluang mengisi kekosongan ditinggalkan Torres yang dijangka diketepikan selama sebulan.
– AGENSI