NAMPAKNYA, kisah Remy Ishak masih ‘laku keras’ dalam media sosial selepas aksi mengusik isterinya, Ezza Yusof menerusi sesi siaran langsung Instagram (IG Live) tular dalam media sosial.
Menerusi video yang tular dalam TikTok, aksi Remy menyakat Ezza ketika melakukan IG Live hangat diperkatakan netizen yang terhibur dengan perangai nakal pelakon itu kerana mendedahkan rahsia isterinya.
Ujar Remy, dia mengatakan yang isterinya gigih bersolek demi membuat IG Live untuk menjual kasut keluarannya.
“Dia jual kasut. Dia tak solat Isyak lagi. Tadi saya panggil solat sama-sama, dia gigih bersolek nak jual kasut.
“Dia kata nak bagi hadiah, saya tak tahu betul ke tak,” seloroh Remy.
Aktor tersebut bagaimanapun memberitahu dia hanya bergurau dan meminta netizen tidak mengambil serius hal tersebut.
“Tak. Dia gurau je. Saya gurau je. Janganlah sensitif semua,” katanya lagi.
Video berdurasi 27 saat tersebut meraih lebih 493,000 tontonan dan mendapat lebih 30,000 tanda suka.
Sementara itu, rata-rata netizen terhibur dengan gelagat Remy yang sangat suka mengusik isterinya.
Paling lucu ada yang melabelkan pasangan ini romantis tetapi tidak mengada-ngada. Begitu pula!