PETALING JAYA – Orang ramai mula melakukan pergerakan rentas negeri sama ada untuk bertemu keluarga dan melancong semalam sempena cuti panjang hujung minggu.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi tumpuan di Terengganu, Pulau Pinang dan Perak mendapati keadaan trafik di lebuh raya mulai sesak selain kawasan rehat dan rawat (R&R) mula dipenuhi orang ramai.
Selain itu, orang ramai juga mula melancong ke Pulau Pangkor bagi mengisi masa bersama keluarga.
Di Dungun, selepas lebih tiga bulan kurang pengunjung, kawasan R&R Paka kembali meriah dengan kunjungan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Rata-rata peniaga menarik nafas lega apabila hasil jualan mereka mula terjual berbanding sebelum ini.
Seorang peniaga, Wan Norasyidah Wan Nasir, 23, berkata, dia hanya kembali membuka kedai keropoknya pada Isnin lalu setelah terpaksa menutup operasi selama tiga bulan ekoran kekurangan pelanggan.
“Alhamdulillah, sekarang pelanggan mula ramai dengan sudah ramai pengguna melalui LPT2 untuk merentas negeri.
“Sebelum ini, hendak dapat seorang pelanggan pun susah, kadangkala pernah dapat hasil hanya RM17 hingga RM20 sehari.
“Sejak minggu lalu, Alhamdulillah, belum sampai tengah hari, boleh dapat sekitar RM100,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Bagi peniaga minuman, Nurmaziatul Hidayu Abdul Haadi, 19, pula, dia turut melanjutkan waktu operasi premisnya dari pukul 9 pagi hingga 9 malam berbanding 11 pagi hingga 6 petang sebelum ini.
Sementara itu, di Seberang Perai, tinjauan di Stesen Keretapi Butterworth mendapati, orang ramai mengambil kesempatan kebenaran rentas negeri untuk pulang bertemu keluarga dan saudara-mara menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Seorang pekerja kilang, Noorliza Baba, 33, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk bertemu suami di Taiping, Perak dengan menaiki ETS selepas enam bulan tidak pulang.
“Saya tidak terlalu bimbang untuk balik kampung kerana saya sendiri, suami serta ahli keluarga telah melengkapkan dos vaksin Covid-19, namun tetap akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Sementara itu, pelajar, P. Kumar, 25, berkata, dia segera menempah tiket ETS untuk pulang ke Kuala Lumpur pada hujung minggu selepas mendengar pengumuman rentas negeri.
“Saya mahu pulang bertemu keluarga dan sanak-saudara selepas setahun tidak bersua,” katanya.
Di Ipoh, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd., Ding Mei Looi berkata, pihaknya menjangkakan lebih 2,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan feri dari jeti berkenaan untuk ke Pulau Pangkor hari ini.
Katanya, pada mulanya mereka menjangkakan sekitar 1,000 pengunjung akan menaiki feri dari Jeti Marina Island, hari ini selepas kerajaan membenarkan rentas negeri sejak Isnin lalu.
“Bagaimanapun, terdapat peningkatan mendadak jumlah penumpang feri dari jeti yang terletak di Teluk Muroh ini sejak Isnin lalu.
“Sabtu lalu kira-kira 600 penumpang menaiki feri dari jeti ini ke Pangkor iaitu sebelum kerajaan umum boleh rentas negeri.
“Angka penumpang mula bertambah sejak itu dengan 400 penumpang pada Isnin lalu sehingga lebih 700 orang penumpang semalam,” katanya.
Tambahnya, ekoran itu, dijangka penumpang ke Pulau Pangkor mencecah 2,000 orang hari ini.