PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan panduan keselamatan elektrik ketika pulang ke kampung atau bercuti.
TNB dalam satu kenyataan berkata, orang ramai diingatkan untuk mematikan dan menutup semua peralatan elektrik seperti peralatan pemanas air serta seterika.
“Lakukan pemeriksaan di luar rumah untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan elektrik seperti beberapa wayar elektrik yang terdedah kepada kelembapan dan tumbuhan yang boleh memutuskan talian elektrik berdekatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari,” katanya di sini hari ini.
Katanya, penggunaan alat itu selain untuk menjimatkan penggunaan tenaga, ia juga boleh mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Sebelum meninggalkan rumah juga, dinasihatkan agar gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) dibuka sepenuhnya untuk mengelak berlaku lebihan beban yang boleh mengakibatkan kebakaran disebabkan litar pintas.
“Orang ramai juga boleh menguji Peranti Arus Baki (PAB) sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan menekan butang uji. Sila hubungi kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menggantikan PAB yang diluluskan oleh ST sekiranya butang uji ditekan dan bekalan elektrik tidak terputus dengan serta-merta,” ujarnya.
Selain itu katanya, sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook “TNB CareLine” untuk mendapatkan bantuan. – K! ONLINE