PUTRAJAYA – Kesedihan lima beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 terubat apabila dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman mereka di Kota Perdana, Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Bapa saudara mereka, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, dia berasa terkejut apabila dihubungi dan dimaklumkan Perdana Menteri akan berkunjung ke kediamannya untuk beramah mesra dengan lima beradik berkenaan.
Menurutnya, lima anak saudaranya seolah-olah tidak percaya Perdana Menteri muncul di depan rumah dan bertanyakan khabar mereka.
“Kami berasa terharu Perdana Menteri tiba pada pukul 12 tengah hari dan beredar kira-kira sejam kemudian.
“Perdana Menteri turut memberi nasihat kepada lima beradik ini selain menghulurkan sumbangan buat mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Berita berkaitan: Lima beradik jadi yatim piatu kerana Covid-19
Tambahnya, selain menzahirkan ucapan takziah kepada mereka sekeluarga, Ismail Sabri turut menyatakan hasrat beliau membantu lima beradik berkenaan dari semasa ke semasa.
“Terima kasih Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa menyantuni anak-anak syurga ini dan menyumbang rezeki buat mereka,” katanya.
Lima beradik ini kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka, Abdul Razak Basiron, 67, serta Intan Sulaiman, 63. – K! ONLINE.