PETALING JAYA – Polis menahan kerja lima anggotanya termasuk seorang berpangkat Inspektor yang didakwa di mahkamah di Sabah semalam kerana menerima rasuah berkaitan kes dadah.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pertuduhan di mahkamah kebiasaannya akan disusuli dengan tindakan awal untuk menahan kerja.
“Setiap anggota itu menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank mereka antara tahun 2014 hingga 2018.
“JIPS Sabah akan buka kertas siasatan berhubung kes ini bagi melihat dari sudut pelanggaran tatatertib dan salah laku,” katanya di sini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, semalam.
Semua tertuduh membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas didakwa menerima suapan keseluruhan sebanyak RM8,020 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985. – K! ONLINE