fbpx

Kenderaan lalu Jambatan Pulau Pinang meningkat 90 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan menghala Jambatan Pulau Pinang di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seberang Jaya semalam.

GEORGE TOWN – Jumlah pengguna di Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau di negeri ini dilaporkan meningkat lebih 90 peratus.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS), Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, kira-kira 61,000 buah kenderaan direkodkan menyeberang Jambatan Pulau Pinang dalam sehari sejak kebenaran merentas negeri bermula Isnin lalu.

Tambahnya, jumlah itu dijangka bertambah pada hari kemuncak semalam dan cuti hujung minggu bermula hari ini memandangkan terdapat cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa.

Menurutnya, PLUS juga sentiasa bersedia untuk menguruskan pertambahan kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu memandangkan sebelum ini sudah menerima kira-kira 1.7 juta kenderaan sehari sebelum pandemik Covid-19.

“Apa yang penting adalah kita menasihatkan pengguna lebuh raya PLUS sentiasa menyemak baki kad Touch n Go (TnG) mereka supaya cukup sekali gus tidak berdepan masalah ketika di plaza tol.

“Bagi mereka yang memandu ke utara boleh menggunakan lorong RFID dan pastikan ‘e-wallet’ TnG mereka dipautkan dengan akaun bank bagi melancarkan urusan pembayaran tol,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kemudahan R&R di sepanjang lebuh raya itu kini dibuka dan boleh digunakan pengguna jalan raya dan mereka yang lengkap dos vaksin juga boleh makan di dalam restoran, manakala yang tidak lengkap divaksin boleh memilih untuk membungkus makanan.

“Kita juga menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan aplikasi PLUS yang mana mereka boleh memantau keadaan aliran trafik menerusi rakaman kamera di dalam aplikasi itu menuju ke destinasi masing-masing sekaligus boleh merancang perjalanan.

“Mereka juga boleh sentiasa memantau laman sosial Twitter PLUS untuk status terkini keadaan lebuh raya untuk perjalanan yang lebih mudah, selamat dan selesa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI