fbpx

Iqbal terkejut Vida terjah rumah 3 pagi, hantar cincin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Iqbal, kedatangan mengejut Vida yang menerjah rumahnya pada pukul 3 pagi bukanlah publisiti.

PETALING JAYA – Usahawan yang juga bekas pembantu peribadi kepada jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida iaitu Ahmad Iqbal Zulkefli terkejut selepas diterjah masuk usahawan berkenaan di kediamannya sekitar pukul 3 pagi semalam.

Iqbal menerusi beberapa hantaran dalam InstaStory memberitahu, dia tidak menyangka Vida sanggup datang ke rumahnya hanya kerana ingin menyerahkan sebentuk cincin yang dibelinya.

“Kedatangan Datuk Seri Vida tanpa pengetahuan saya. Kali terakhir saya berhubung dengan beliau pada September lalu.

“Saya keluar tanpa pakaian penuh kerana fikir adik saya yang ketuk pintu rumah. Alamat rumah saya pun entah dari mana beliau jumpa,” tulisnya.

Akui lelaki kelahiran Kelantan berusia 27 tahun itu, dia terpaksa melayan kedatangan Vida walaupun pada ketika itu sedang mengalami emosi kurang stabil.

“Saya layan saja dengan emosi yang tidaklah seberapa baik. Beliau tinggalkan saya dengan sebentuk cincin, pasti saya tidak akan sesekali pakai.

“Semestinya saya akan pulangkan kembali. Saya sebenarnya penat begini,” katanya lagi.

Dalam video InstaStory tersebut, dapat dilihat Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 49, sedang duduk bercerita mengenai cincin tersebut sambil ditemani anak lelakinya, Kacak.

Pada hantaran berbeza, Iqbal turut meluahkan rasa pelik bagaimana pengawal keselamatan boleh membenarkan orang luar masuk sesuka hati ke kediamannya tanpa keizinan.

“Saya akan siasat macam mana kereta Vida boleh lepas untuk masuk ke kawasan rumah saya. Saya marah pada pengawal keselamatan.

“Macam mana boleh mudah lepas walhal ada dua tapisan pondok keselamatan untuk masuk ke kawasan rumah saya. Hanya pemegang kad sahaja yang boleh masuk. Biasanya pengawal akan hubungi terlebih dahulu jika ada orang datang,” tulisnya lagi.

Iqbal menerusi InstaStory terbaharunya turut memberitahu apa yang dilakukan Vida bukanlah satu lakonan atau publisiti dan berlaku tanpa pengetahuannya.

“Jika ada yang rasa itu lakonan atau publisiti, silakan. Saya berani bersumpah langsung tidak tahu kedatangan beliau.

“Saya terlalu penat untuk melayan drama ini semua. Sekarang dia (Vida) katakan seolah-olah saya disantau atau terkena buatan orang dan meminta saya untuk berubat. Bukan disantau, saya penat,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu merancang mendirikan rumah tangga pada Disember akan datang tetapi berdepan pelbagai konflik seperti tidak mendapat restu kedua-dua anak Vida dan sebagainya.

Tidak setakat itu, Iqbal turut memberitahu hatinya sudah tawar dan telah membatalkan tempahan hotel untuk hari bahagianya bersama Vida. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI