GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah bot tunda dan dua barge atau tongkang selepas gagal mengemukakan dokumen kapal berserta insuran, petang semalam.
Bot-bot tersebut ditahan ketika berada pada jarak 0.3 batu nautika barat laut Sungai Pinang dan 1.1 batu nautika Pantai Bersih dekat sini kira-kira pukul 4.30 hingga 5.45 petang.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, keempat-empat bot terbabit ditahan sepasukan anggota bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan penugasan Op Pertiwi.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tunda TEGUH 16501 beserta barge dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berusia antara 21 hingga 42 tahun.
“Bot tunda kedua iaitu TEKUN 12262 beserta barge pula dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berumur antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau memberitahu, siasatan mendapati kesemua kru dan nakhoda tersebut memiliki pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Justeru tambahnya, Maritim Malaysia menyeru semua pemilik kapal serta nakhoda agar sentiasa mematuhi peraturan di laut dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja atau tidak melanggar undang-undang persekutuan yang sedia ada. – K! ONLINE