BUENOS AIRES – Skuad Argentina terus mempamerkan rentak konsisten apabila melebarkan rekod tanpa kalah dalam pentas antarabangsa sebanyak 25 perlawanan selepas menewaskan Peru 1-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Monumental itu, skuad La Albiceleste meraih gol tunggal perlawanan hasil ledakan penyerang sensasi, Lautaro Martinez, manakala hasrat Peru untuk mencuri mata tidak kesampaian apabila Yoshimar Yotun gagal menyudahkan sepakan penalti yang diberikan.
Martinez mengakui sangat gembira apabila dapat menjadi wira pasukan sekali gus membantu pasukan melebarkan rekod tanpa kalah di pentas antarabangsa meskipun diberikan tentangan sengit oleh Peru.
“Kita dapat lihat pada perlawanan kali ini pasukan tidak dapat beraksi seperti biasa kerana Peru berjaya mengawal rapi benteng pertahanan mereka dengan tidak memberi ruang serta peluang buat kami menyerang.
“Situasi ini ternyata berbeza berbanding ketika bertemu dengan Uruguay sebelum ini tetapi saya tetap gembira apabila hanya memerlukan satu peluang yang cukup untuk membantu pasukan menjaringkan gol,” kata penyerang Inter Milan itu.
Dalam perkembangan sama, pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui kepenatan menjadi salah satu faktor utama kenapa pasukannya gagal mempamerkan aksi yang diharapkan meskipun berjaya mengutip tiga mata penuh.
“Anda boleh saksikan kenapa pasukan kami tidak selincah seperti aksi bertemu Uruguay kerana bukan mudah untuk bersaing tiga perlawanan antarabangsa dalam tempoh seminggu.
“Namun, saya tetap berpuas hati kerana apa yang penting kami kekalkan momentum kemenangan,” katanya. – AGENSI