HUAIAN, China – Seorang wanita terpaksa meminta bantuan anggota polis untuk membuka kekunci basikal pada lehernya apabila anaknya secara tidak sengaja mengunci lehernya dan terlupa kod membukanya.
Video kejadian pada 7 Oktober lalu telah tular di media sosial di China apabila kelihatan anggota polis membantu wanita itu membuka kekunci basikal yang ada pada lehernya.
Wanita itu menceritakan kepada anggota polis berkenaan bahawa anaknya bermain dengan kekunci basikal itu ketika dia sedang mencuci tandas dan kemudian memasukkan ke lehernya.
“Pada mulanya rasa kelakar, kekunci basikal basikal itu adalah milik saya dan apabila saya hendak buka tiba-tiba tidak boleh rupanya kod itu telah ditukar dan anak lupa pula kod berkenaan,” ujarnya kepada polis berkenaan.
Pada awalnya pihak polis tidak dapat membantu wanita berkenaan dan telah meminta bantuan anggota bomba untuk memotong kekunci basikal berkenaan.
Ramai netizen yang menonton video berkenaan menganggap satu pengajaran patut diberikan kepada anak wanita berkenaan.
“Jangan anggap itu kelakar, wanita itu boleh maut sebab hampir tercekik,” jelas salah seorang netizen.