DALAM kehidupan di dunia, Tuhan menciptakan semuanya dalam bentuk berpasangan termasuklah manusia.
Lebih menambahkan kemanisan dalam kehidupan apabila ada pertemuan dua jiwa yang saling melengkapi dan mencintai antara satu sama lain
Ungkapan tersebut sesuai menggambarkan hubungan cinta yang sedang mekar antara Yonnyboii dengan Nik Nazira Narriman.
Mengejutkan ramai pihak dengan berita pertunangan pada Sabtu lalu, penyanyi rap berusia 23 tahun itu mengakui sedang meniti hari bahagia dalam hidupnya.
Terbuka berkongsi mengenai cinta hatinya, kata Yonny, perkenalan mereka bermula dalam dunia permainan video online sekitar setahun lalu, namun semakin serius sejak empat bulan lalu.
‘Hadir bawa hikmah besar’
Kongsi pemilik nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, bakal isterinya yang berusia 22 tahun itu merupakan seorang wanita yang sangat memahami setiap perkara mengenainya sekali gus memenuhi ciri-ciri seorang isteri diimpikan selama ini.
“Selama ini, saya tak pernah berjumpa dengan wanita yang sangat mengambil berat tentang diri saya sepertinya termasuk perihal kewangan dan kesihatan.
“Paling menyentuh hati ialah dia memberi lebih daripada apa yang sepatutnya.
“Cintanya membuatkan saya tenang berada di sisinya. Boleh diibaratkan dialah tempat saya bersandar ketika ini,” ujarnya penuh romantis.
Kongsinya, dia tidak menyangka gurauannya kepada bakal isterinya mengenai jumlah hantaran telah mengubah segala-galanya.
“Awalnya saya bergurau dengan bertanya berapa jumlah hantaran kemudian dia suruh bertanya kepada ibunya.
“Bermula detik itulah hubungan terindah ini bermula dan segala-galanya sangat lancar.
“Paling saya terharu ialah kehadirannya seperti membawa satu rahmat besar kerana menjernihkan semula hubungan keluarga saya yang sebelum ini sedikit renggang.
“Mengenali dan mencintainya juga adalah satu bentuk rezeki, insya-Allah saya akan jaga hubungan ini sebaik-baiknya,” katanya yang memilih tarikh 22 Januari 2022 sebagai hari pernikahan mereka.
Jangan malu jika alami depresi
Beralih mengenai kesihatan mentalnya, dia memberitahu penyakit hiperaktif atau gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) yang dialaminya semakin terkawal kerana mendapat rawatan pakar lebih awal.
Tambah pelantun lagu Sakit itu, dia juga bersyukur apabila isu kesihatan mental kini semakin mendapat perhatian umum terutama dalam tempoh pandemik.
“Pandemik antara satu punca ramai yang alami masalah kesihatan mental. Daripada stres menjadi kegelisahan kemudian bertukar menjadi kemurungan.
“Namun, kini semakin ramai yang sudah ada kesedaran mengenai kesihatan mental. Mereka sedar sendiri apa yang dialami.
“Nasihat saya, jika anda punyai simptom berkaitan masalah kesihatan mental, segeralah dapatkan rawatan. Jangan malu kerana risau akan beri kesan negatif pada diri sendiri dan sekeliling,” ujarnya.
Tidak sabar untuk membuat persembahan, dia turut melahirkan rasa gembira apabila melihat industri seni kreatif tanah air semakin pulih selepas jumlah kes menunjukkan penurunan.
“Sangat lega melihat dunia hiburan sudah kembali bernafas.
“Walaupun bermula perlahan, namun itu sudah cukup memberi rasa lega kepada penggiat seni yang terkesan sebelum ini.
“Semoga apa yang dimiliki hari ini berkekalan dan berharap fasa duka penggiat seni sebelum ini tidak lagi kembali,” ujarnya yang baru sahaja muncul dengan album baharu berjudul YONNY (DELUXE VERSION) pada 8 Oktober lalu.