KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi belum membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT UMNO akan bermesyuarat sekali lagi berhubung perkara itu.
“Mesyuarat MKT UMNO malam ini antaranya meminta jentera parti di setiap peringkat untuk membuat persiapan rapi menghadapi PRN Melaka.
“Mesyuarat MKT UMNO mengesahkan pengguguran keahlian Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato Onn PWTC.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menyiasat rakaman audio yang didakwa membabitkan Idris dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, MKT UMNO berasa kecewa dan menyatakan pendirian bahawa perkara itu perlu disiasat. – K! ONLINE