fbpx

Tanggal langsir di bilik darjah, ibu bapa berbelah bagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Arahan menanggalkan langsir atau tirai di dalam bilik darjah bagi pembukaan semula sekolah di seluruh negara menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan ibu bapa dan guru.

Menjawab persoalan tersebut, pengamal perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkata, ruang-ruang seperti di sekolah dan pejabat harus dibersihkan sebanyak dua kali sehari menggunakan teknik penyemburan.

“Kita takut apabila sedang bercakap, terbatuk atau terbersin, ada titisan-titisan air daripada percakapan dan pernafasan kita yang melekat di permukaan langsir.

“Kita perlu membersihkan kawasan tersebut sebanyak dua kali sehari dan sekiranya terdapat langsir jenis kain, ia akan menyukarkan kerana kita perlu membasuh langsir jenis kain tersebut sebanyak dua kali.

“Itu yang disarankan untuk menanggalkan langsir jenis kain tersebut namun antara langkah lain ialah pihak sekolah boleh menggantikan langsir jenis kain tersebut dengan langsir yang diperbuat daripada plastik seperti ‘shower curtain’ yang boleh dibersihkan dengan teknik penyemburan,” katanya menerusi laman Facebooknya baru-baru ini.

Jelasnya, di hospital seperti wad kecemasan atau wad berkaitan, mereka akan menggunakan penghadang plastik jenis lutsinar yang memudahkan jururawat atau pegawai perubatan memantau pesakit.

“Penghadang jenis plastik ini boleh dibersihkan menggunakan teknik penyemburan. Di dalam bilik darjah juga sesuai untuk menggunakan langsir seperti ‘shower curtain’ ini.

“Pastikan pembersihan dilakukan sebanyak dua kali sehari untuk merendahkan risiko jangkitan di sekolah agar sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan seperti biasa tanpa banyak gangguan jangkitan.

“Kita harap tiada kluster di sekolah berlaku, kita doakan supaya murid-murid serta guru-guru selamat dan dipermudahkan urusan mereka untuk meneruskan sesi persekolahan secara fizikal,” ujarnya.

Tambahnya, arahan untuk menanggalkan langsir tersebut dikeluarkan bagi memudahkan proses pembersihan boleh dilakukan.

Terdahulu, rombakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula sekolah di seluruh negara pada 3 Oktober lalu dibuat susulan ancaman penularan jangkitan varian delta.

Arahan menanggalkan tirai atau langsir dalam kelas yang berupaya menyekat aliran udara dari luar dilakukan bagi meningkatkan aspek pengudaraan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI