HARI ini, orang ramai terutama warga kota sudah pasti mula bertolak pulang ke kampung masing-masing.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari sepanjang ‘cuti hujung minggu’ yang panjang termasuk hari cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa depan.
Ia meliputi laluan Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur (KL)-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Kajang-Seremban.
Mungkin sudah agak terlambat, namun bagi mereka yang makan gaji inilah peluangnya kerana kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa pada 11 Oktober lalu jatuh pada Isnin hari bekerja.
Melihat angka tersebut, sudah pasti kita dapat membayangkan keadaan di atas lebuh raya pada hujung minggu ini.
Sebelum ini situasi sesak luar biasa biasanya hanya dapat dilihat pada musim-musim perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan Tahun Baru Cina ataupun cuti umum lain yang berkembar dengan cuti hujung minggu.
Walaupun ada yang menggeleng kepala melihat orang ramai meredah kesesakan sehingga berbelas jam bagi yang berasal nun jauh di utara, selatan atau Pantai Timur, namun itulah kepuasan bagi sesetengah golongan perantau.
Hilang segala penat bersesak atas jalan raya sebaik melihat kampung halaman apatah lagi dapat menatap wajah orang tua yang tersayang.
Bahkan, ada yang sudahpun tiba di kampung, masih rasa tidak percaya dapat menjejakkan kaki di kampung.
Seingat penulis, tahun 2021 ini merupakan tempoh paling lama perintah larangan sekatan rentas negeri dikuatkuasakan iaitu hampir 10 bulan.
Dalam perjalanan balik ke kampung tanpa sedar kita juga berkongsi rezeki dengan peniaga-peniaga kecil terutama di kawasan rehat dan rawat. Sekurang-kurangnya poket mereka yang terjejas sebelum ini dapat diisi semula.
Selain balik kampung, ada juga yang tidak melepaskan peluang bercuti ke tempat-tempat menarik di seluruh negara.
Banyak portalsudah rancak menyenaraikan lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi mengikut bajet dan aktiviti yang disukai sejak minggu lalu.
Ada orang sukakan pulau dan aktiviti laut, ada yang suka ke kafe hipster, ada yang memilih check in di hotel untuk membeli-belah.
Apa pun destinasi pilihan kita, jangan lupa membuat persediaan yang sewajarnya termasuk menyelenggara kenderaan dan jaga sikap atas jalan raya.
Berhati-hati semasa memandu jangan sampai kita menjadi penyumbang kepada statistik kes kemalangan di jalan raya.-K! ONLINE