LONDON – Pengurus Leicester City, Brendan Rodger akan menolak sebarang tawaran untuk membawanya sebagai pengendali baharu Newcastle United kerana lebih berminat dengan jawatan di Manchester City.
Biarpun diletakkan sebagai salah seorang calon menggantikan Steve Bruce, Rodgers juga dianggap calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Pep Guardiola di Etihad dalam tempoh 18 bulan lagi.
Guardiola dilaporkan akan mengakhiri tugasnya sebagai pengurus City pada musim panas 2023 dan Rodgers pula bukan kali pertama dikaitkan dengan kelab itu sebaliknya namanya turut disebut ketika Roberto Mancini meninggalkan kelab itu pada 2013.
Pengurus dari Ireland Utara itu berjaya membantu Leicester merangkul kejuaraan Piala FA musim lalu dianggap berada dalam kategori pengurus yang dikehendaki City bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Guardiola.
Rodgers merupakan pengurus yang memiliki nama besar dan berkaliber dalam menguruskan sebuah pasukan besar berdasarkan pengalamannya sebelum ini bersama Liverpool.
Mancini ketika dilantik menjadi pengurus City pada 2009 mahukan khidmatnya sebagai staf kejurulatihan, namun pihak kelab membawa masuk David Platt dan Brian Kidd untuk tugas berkenaan.
Rodgers ketika ini sedang berusaha untuk mengekalkan reputasinya sebagai antara pengurus terbaik di Liga Perdana Inggeris kerana berjaya membantu Leicester menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kelima dan layak beraksi di saingan Liga Europa musim ini.
Bagaimanapun, mereka memulakan musim ini dengan agak perlahan apabila berada di kedudukan ke-13 liga selepas sekadar meraih dua kemenangan, dua seri dan mencatat tiga kekalahan dalam tujuh aksi setakat ini. – AGENSI