SHAH ALAM – Kebenaran merentas negeri memberi rahmat besar buat seorang pemandu lori bagi menyambut cahaya mata kedua bersama isterinya di kampung di Pasir Mas, Kelantan.
Sahrimi Osman, 38, berkata, dia telah menghantar isterinya, Siti Atikah Abdul Rahman, 35, pulang ke kampung halaman minggu lalu memandangkan jangkaan bersalin pada 21 Oktober depan.
“Minggu lalu, saya menggunakan surat kebenaran yang dikeluarkan polis untuk merentas negeri namun kali ini, tidak perlu lagi memohonnya.
“Hari ini sangat teruja untuk pulang ke kampung bagi memberikan sokongan bagi menyambut kelahiran anak kedua kami,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Shah Alam, di sini, hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati keadaan terminal terkawal dengan jumlah penumpang yang minima menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.-K! ONLINE