fbpx

Rakan hilang sebelum ditemui lemas di air terjun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemui di satu lubuk dekat lokasi seliparnya dijumpai.

TAPAH – Seorang lelaki ditemui mati lemas ketika mandi bersama rakannya di kawasan rekreasi air terjun Lubuk Degong, Bidor di sini hari ini.

Mayat R. Tharsan, 20, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat diketuai Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail di dasar lubuk air terjun berkenaan pada pukul 11 pagi.

Menurut Wan Azharuddin, mangsa dan rakan lelakinya berusia 20 tahun datang ke kawasan air terjun itu untuk mandi pada pukul 4.20 petang, semalam.

Katanya, semasa sedang mandi, mangsa memberitahu rakannya itu untuk naik ke bahagian atas air terjun.

“Rakan mangsa bagaimana pun hanya mengikut lelaki itu separuh jalan sebelum berpatah balik untuk menjaga barang yang dibawa.

“Mangsa kemudiannya telah naik seorang diri mengikut laluan denai namun sehingga pukul 6.30 petang, dia masih tidak turun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, rakannya telah pergi ke perkampungan Orang Asli untuk meminta bantuan namun sehingga pukul 7.30 petang, mangsa masih juga belum ditemui.

Katanya, operasi mencari mangsa segera dijalankan bersama penduduk Orang Asli sehingga pukul 11 malam dan disambung semula hari ini.

“Operasi mencari mangsa yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menemui mangsa di satu lubuk dekat lokasi seliparnya dijumpai.

“Mayat mangsa yang dibawa naik ke tebing telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI