PETALING JAYA – Sebuah video yang dihasilkan oleh seorang YouTuber yang mengacah-acah untuk menampar individu-individu yang menaiki eskalator telah mendapat perhatian seorang peguam bernama Mufarwa Farid semalam.
Berdasarkan isi kandungan video yang tular itu, YouTuber tersebut berada di eskalator dan mengacah untuk menampar sesiapa sahaja sehingga menyebabkan dua orang wanita berlari lintang pukang ketakutan.
Menerusi satu posting oleh Mufarwa Farid di laman sosial Facebook berkata, tindakan YouTuber tersebut yang membuat prank acah-acah menampar orang di eskalator merupakan satu kesalahan jenayah.
“Ada seorang YouTuber telah membuat ‘prank’ acah-acah tumbuk orang di eskalator di sebuah mall, dia telah pun meminta maaf. Namun sebenarnya, perbuatan acah-acah tumbuk ini merupakan satu jenayah, walaupun ia berniat untuk ‘prank’, ia tetap satu jenayah.
“Perbuatan ini termaktub dalam Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya,” katanya semalam.
Tambahnya lagi, mangsa-mangsa ‘prank’ YouTuber itu boleh membuat laporan polis dan beliau juga mengingatkan orang ramai yang perbuatan tersebut merupakan kesalahan jenayah.
“Mangsa-mangsa boleh membuat laporan polis mengenai YouTuber ini, bolehkah kita menakut-nakutkan atau prank orang? Ya boleh. Tetapi, ada tapinya, Yang kita tidak boleh buat adalah menakut-nakutkan dengan perbuatan jenayah.
“Seperti takut-takutkan orang dengan lagak ingin memukul, serangan dengan senjata, bunuh atau merogol. Walaupun ia sekadar prank, tetapi pelakuan jenayah yang acah-acah juga merupakan satu kesalahan,” jelasnya.
Susulan daripada perkongsian tersebut, orang ramai menyelar tindakan YouTuber tersebut yang tidak menghormati mangsa sehingga menyebabkan mereka ketakutan dan ada juga menasihatkan supaya membuat laporan polis.
“Itulah nak naikkan ‘viewer’ punya pasal, sanggup buat-buat benda macam ini. Ini semua konten-konten luar negara habis semua YouTuber ini nak ikut, elok mangsa-mangsa pergi buat laporan polis,” kata Azwa Najwaa.
“Kalau ada yang terkejut sakit jantung tak ke dah jadi hal, kena pula dekat yang panas baran baru diorang tahu langit itu tinggi ke rendah,” ujar Ammar Wafi.
“Kalaulah orang yang awak acah-acha itu ada ‘heart attack’ kan dah satu hal, taksub sangat nak buat konten. Ambil sahaja tindakan supaya boleh jadi pengajaran buat semua orang,” jelas Owh Dydiana.
Terkini, YouTuber berkenaan sudah membuat permohonan maaf tetapi orang ramai masih tidak dapat menerima permohonan maaf kerana kandungan yang dihasilkan oleh mereka sangat keterlaluan. – K! ONLINE