RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas sebanyak 1,149 helai seluar trek tiruan yang diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di tepi jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 2 petang itu, PGA turut menahan pemandu kenderaan tersebut yang berusia 31 tahun untuk membantu siasatan berhubung rampasan bernilai RM80,430.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan rondaan rutin di kawasan itu.
“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu telah menjumpai enam guni berwarna kuning yang berisi seluar trek tiruan menggunakan jenama antarabangsa.
“Pemandu kenderaan itu turut gagal mengemukakan sebarang dokumen selepas diarahkan untuk berbuat demikian,” katanya.
Menurut Azhari, kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal PGA Rantau Panjang di sini untuk pemeriksaan lanjut dan hasil semakan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan, mendapati pemandu tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019. – K! ONLINE