PETALING JAYA – Musim sejuk kebiasaannya adalah satu musim yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakkan orang kerana kedinginan dan kedamaian musim yang datang setahun sekali ini.
Namun bagi penduduk di Gaza, musim sejuk adalah musim yang paling ditakuti penduduk di sana kerana kesejukan mampu membunuh keluarga mereka.
Menurut pengkongsian oleh presiden Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia, Nadir al Nuri, musim sejuk adalah musim yang paling menakutkan di Gaza.
“Sebenarnya saya suka musim sejuk melebihi musim panas tetapi ada dua perkara yang selalu merunsingkan di musim ini. Pertama, kematian bayi akibat kesejukan hanya berlaku di musim sejuk.
“Mengikut catatan saya, ada tiga orang bayi telah meninggal akibat kesejukan kerana ketiadaan elektrik atau keadaan rumah yang teruk,” tulisnya di Facebook miliknya hari ini.
Manakala yang kedua jelasnya, musim sejuk menyedihkan kerana ketika berada di bawah selimut tebal khususnya hujan lebat, keluarga-keluarga miskin hanya mampu menghangatkan tubuh mereka dengan memeluk sesama sendiri sambil angin masuk melalui rumah yang tak bertingkap dan air menitik melalui atap berlubang.
“Sebab itu musim sejuk kali ini, fokus kita yang besar ialah kepada projek baik pulih rumah. Seperti kata penduduk, asalkan ada bumbung dan dinding yang melindungi kami, insya-Allah makanan dan keperluan lain boleh kami urus dan cari.
Lihat saja rumah yang kami ziarah semalam. Adakah ia layak diduduki manusia?,” soalnya. -K! ONLINE.