SEBERANG PERAI – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Seberang Jaya di sini bergerak perlahan di kedua-dua arah petang ini.
Tinjauan Kosmo! kira-kira pukul 5 petang di Seberang Jaya mendapati kesesakan membabitkan laluan ke selatan menghala Jambatan Pulau Pinang dan arah utara menghala ke Kedah, Perlis dan utara Pulau Pinang.
Kesesakan arah utara dipercayai berlaku bermula di Plaza Tol Sungai Dua di Butterworth, manakala ke selatan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang bagi memasuki bahagian pulau.
Kesesakan dipercayai berpunca kerana waktu puncak dan pertambahan kenderaan dari kedua-dua arah.
Kenderaan dipercayai akan bertambah menjelang malam ini apabila orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula Isnin lalu.
Sementara itu, di sekitar pusat bandar raya George Town turut dilaporkan mengalami kesesakan jalan raya ketika ini.
Terdahulu, polis Pulau Pinang menjangkakan kenderaan mula bertambah di negeri bermula pada petang ini. – K! ONLINE