LONDON – Ejen promosi tinju terkenal, Frank Warren berharap jaguh tinju Britain, Anthony Joshua dapat memberi ruang untuk pertarungan buat juara dunia kategori heavyweight, Tyson Fury menentang jaguh Ukraine, Oleksandr Usyk terlebih dahulu pada tahun depan.
Sebagai rekod, Joshua telah kehilangan tali pinggang kejuaraan heavyweight dunia kepada Usyk selepas tewas pada pertarungan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur bulan lalu.
Susulan itu, Joshua telah mencabar Usyk untuk bertarung kembali dengan kedua-dua petinju bersetuju untuk pertarungan dilangsungkan pada tahun depan.
Namun, Warren percaya Fury yang juga rakan senegara Joshua lebih sesuai untuk mencabar Usyk bagi menentukan siapa jaguh No.1 kategori heavyweight selepas masih segar dengan kejayaan menewaskan Deontay Wilder dengan kemenangan knockout di Las Vegas minggu lalu.
“Saya rasa Joshua patut lebih menghormati Fury dan memberi ruang buatnya menentang Usyk kerana pertarungan itu pasti memiliki prestij yang lebih besar selepas kedua-dua petinju kekal dengan rekod tanpa kalah dalam karier mereka.
“Namun, keputusan terletak di tangan Joshua kerana dia memiliki hak untuk menuntut pertarungan semula sesuai dengan klausa kontrak yang ditandatangani bersama Usyk sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, ejen peribadi Usyk, Alexander Krassyuk menjangka anak buahnya hanya akan bertarung dengan Fury tahun depan.
“Usyk sangat teruja melihat pertarungan melibatkan Fury menentang Wilder pada minggu lalu dan sudah tentu berminat untuk mencabar Fury di atas gelanggang. Bagaimanapun, terserah kepadanya untuk membuat keputusan,” katanya. – AGENSI