fbpx

Jelajah Ikhlas CSR di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azlan (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Sapiah di Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah.

REMBAU – Program Jelajah Ikhlas Bersama CSR (Zon Selatan) menyantuni seorang bapa, Shamsulrizal Ahmad Mustafa, 41, yang mengidap penyakit barah limfoma tahap tiga yang kini tidak dapat bekerja di bengkel besi sebelum ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, bapa kepada lima orang anak yang berusia antara setahun hingga 13 tahun itu telah membina sebuah kolam ikan di pekarangan rumah yang didiami bersama mentuanya di Kampung Sungai Beringin, Pedas, di sini.

Bagi meringankan beban keluarga malang ini, program Jelajah Ikhlas Bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan asas kepada Shamsulrizal.

Shamsulrizal (kiri) bergambar kenangan bersama wakil Program Jelajah Ikhlas di Kampung Sungai Beringin, Pedas.

“Wang tunai hasil sumbangan ini akan digunakan sebahagiannya sebagai modal membeli anak ikan untuk diternak di kolam.

“Selebihnya saya simpan untuk kegunaan kami sekeluarga kerana saya sekarang tidak boleh melakukan kerja berat di bengkel besi.

“Selain itu, wang itu akan digunakan sebagai perbelanjaan ketika berulang-alik ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi menjalani rawatan kimoterapi,” jelasnya.

Selain itu, seorang warga emas, Sapiah Keweh di Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah turut menerima sumbangan sama dan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar.

Kisah sedih ibu berusia 77 tahun bersama anaknya yang masih bujang, Jamaluddin Suboh yang tinggal di sebuah rumah pusaka usang telah disiarkan di akhbar pada Mac lalu.

Kedua-dua beranak itu tidak berani untuk mendiami bahagian atas rumah tersebut kerana keadaan kayunya yang sudah lapuk dan reput.

Lebih memilukan, Sapiah yang mempunyai masalah kesakitan di bahagian lutut hanya mampu mengengsot untuk bergerak di dalam rumah usang itu kerana kesakitan yang dialaminya.

Kisah dua beranak ini telah mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kemudiannya menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Seri Menanti untuk membina sebuah rumah baharu di tanah milik warga emas itu.

Kini rumah tersebut telah siap dibina dan telah diduduki mereka dengan selesa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI