SHAH ALAM – Hulu Selangor menjadi kawasan pertama pulih sepenuhnya bekalan air selepas mengalami gangguan akibat kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, peratusan pemulihan Hulu Selangor mencapai 100 peratus setakat 12 tengah hari tadi diikuti Kuala Selangor (99.4 peratus), Shah Alam (94.2 peratus) dan Petaling (89.8 peratus).
“Bagi Kuala Langat pula merekodkan peratusan pemulihan sebanyak 85.7 peratus, Gombak (65.5 peratus), Kuala Lumpur (38.6 peratus) serta Klang (16.8 peratus).
“Justeru, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 68 peratus keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Air Selangor memberitahu, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza.
Ujarnya, ini bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. – K!ONLINE