PUTRAJAYA – Hubungan ekonomi antara Malaysia dengan China terus kukuh meskipun seluruh dunia kini masih berdepan cabaran sukar ekoran pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, China masih merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia pada kadar 18.6 peratus pada tahun 2020.
“Eksport Malaysia ke China bagi tahun lalu berkembang kepada 11.1 peratus melibatkan nilai AS$37.77 bilion (RM156.74 bilion), manakala China juga merupakan sumber import terbesar Malaysia melibatkan 21.5 peratus daripada keseluruhan import.
“China merupakan pelabur tertinggi di Malaysia dengan nilai pelaburan AS$4.41 billion (RM18.30 bilion) tahun lalu.
“Sebanyak 71 projek pembuatan melibatkan penyertaan dari China yang diluluskan tahun lalu dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata semasa berucap pada majlis pelancaran pameran eksport import ke-130 (Canton Fair) semalam.
Ismail Sabri menjelaskan, masih terdapat tiga domain ekonomi yang berpotensi, namun belum dimanfaatkan dalam pelaburan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.
Aspek tersebut adalah ekonomi digital, revolusi industri keempat dan pembangunan lestari termasuk teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan mitigasi perubahan iklim.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia yang menjadi salah satu negara pertama yang menyokong Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China tetap berkeyakinan terhadap inisiatif tersebut.
Jelas beliau, inisiatif berkenaan akan membuka lebih banyak sempadan dan penyambungan.
“Kami percaya persefahaman ini akan mewujudkan kemungkinan baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan di seluruh Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Timur.
“Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2030, kami menyokong semangat bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.