ISU hangat yang sering berlaku membabitkan pempengaruh media sosial atau ‘influencer’ apabila sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar kandungan tular, diterjemahkan dalam sebuah filem komedi seram baharu.
Filem berjudul Hantu Ke Lima berkenaan memaparkan kisah golongan tersebut yang mengejar isu popular untuk mencipta kandungan demi meraih jumlah tontonan dalam media sosial.
Hantu Ke Lima menampilkan gandingan pelakon popular seperti Raysha Rizrose, Aisar Khaled, Izzue Islam, Shiha Zikir, Elly Mazlein, Pencetus Ummah (PU) Azman, Adibah Noor, Danish Danieal dan Azman Ahmad.
Filem terbitan AT Movies tersebut menjadi naskhah Melayu pertama diterbitkan syarikat berkenaan yang sebelum ini hanya menumpukan perhatian dalam penghasilan karya Tamil tempatan antaranya Athaiyum Thaandi dan Azhaggiye Thee.
Menariknya tentang Hantu Ke Lima, jalan ceritanya bukan sahaja padat dengan unsur komedi yang mengundang gelak tawa penonton, tetapi watak-watak yang ditampilkan juga berbeza dan menghiburkan.
Antaranya watak Oya lakonan Shiha Zikir yang merupakan seorang gadis yang penakut dan kalut.
Kam pula lakonan Elly Mazlein sering mempunyai idea menyeramkan, sementara Auni Qaisara Putri (Raysha Rizrose) merupakan anak tunggal yang kesunyian dan menyamar menjadi hantu.
Hantu Ke Lima menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurut penerbit dan wakil ATHY Movies, Datuk Athy, filem berkenaan dihasilkan bagi memenuhi kehendak penonton yang sering menjadikan genre komedi dan seram sebagai pilihan utama.
“Saya berasa sangat teruja kerana filem terbitan produksi AT Movies sudah menemui penonton. Dalam pada itu, saya juga rasa gementar dengan reaksi penonton.
“Ini merupakan kali pertama produksi kami menghasilkan filem Melayu. Penggambaran berjalan sejurus tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Walaupun dilakukan dalam norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat, tapi semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, Astro First mempertaruhkan bakat-bakat muda sebagai bintang utama dalam naskhah yang menemui penonton sejak 7 Oktober lalu.
“Selain jalan cerita yang padat dengan unsur komedi, kami yakin gandingan pertama kali barisan pelakon itu mampu menarik penonton.
“Tambahan pula, dengan kemunculan Elly Mazlein yang dikenali dengan gelaran Kak Lina Pom Pom pasti mengubati rindu penonton.
“Pada masa sama, kami berharap platform Astro First mampu dilihat sebagai salah satu ruang yang bukan hanya mengangkat bakat kreatif seperti pengarah filem, penulis skrip tetapi bagi penerbit bagi mencuba sesuatu di luar kebiasaan,” katanya.
Filem Hantu Ke Lima yang mendapat sentuhan pengarah Azhari Zain mengisahkan tentang Auni Qaisara Putri yang mencari perlindungan setelah dianiaya ibu tirinya, Puan Sri Zaleha (Adibah Noor) dalam skim pelaburan saham yang merugikan.
Puncak Mahligai, kediaman mewah peninggalan arwah ayah Auni yang dijaga oleh Iskandar Syah (PU Azman) dan isterinya Kam (Elly menyimpan 1001 misteri.