fbpx

Fenomena Squid Game, naskhah terlaris yang pernah ditolak untuk diterbitkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTARUHAN yang dibuat Netflix berbaloi selepas Squid Game menjadi trending dan mendapat sambutan paling hebat di seluruh dunia.

SQUID Game. Itulah perkataan yang menjadi trending di media sosial sejak beberapa minggu lalu. Sejak disiarkan di platform perkhidmatan penstriman tersohor Netflix, Squid Game yang merupakan sebuah drama bersiri telah mendapat pelbagai respons di media sosial daripada penonton.

Ia menjadi satu fenomena terkini di seluruh dunia sejak disiarkan di saluran tersebut September lalu.

Namun, tidak ramai yang tahu, perjalanan penulis skrip dan juga pengarah drama tersebut, Hwang Dong-hyuk pernah berputus asa untuk mencari pelabur yang sanggup menerbitkan ceritanya itu.

Cerita Dong-hyuk, dia mengakui Squid Game mempunyai perjalanan sangat panjang sebelum dapat disiarkan kepada umum di seluruh dunia.

Menurutnya, dia telah menyelesaikan penulisan skrip untuk drama terbabit sejak 2009.

“Secara tepatnya, saya mula menulis untuk drama ini pada tahun 2008.

“Pada masa itu, saya sering ke kedai buku yang menjual komik. Saya membaca banyak komik dan mahu membuat cerita seperti komik di Korea, maka terhasil Squid Game,” katanya.

Namun begitu, ramai yang meragui penulisannya pada ketika itu.

“Saya menyelesaikan penulisan skrip ini pada tahun 2009. Pada masa itu, skrip ini dikatakan terlalu asing dan sedikit kejam sehingga ramai yang menganggapnya terlalu rumit. Ia didakwa terlalu rumit dan tidak komersial,” jelas Dong-hyuk.

Disebabkan itu, dia sukar mendapatkan pelaburan untuk menghasilkan drama tersebut.

Setelah bertahun berusaha untuk menawarkan ideanya itu dan ditolak, dia akhirnya mengambil keputusan untuk ‘menidurkan’ skrip Squid Game selama lebih satu dekad sebelum Netflix memberi peluang kepadanya untuk berbuat demikian.

DONG-HYUK (kiri) memperkatakan sesuatu kepada pelakon utama Squid Game bagi mendapatkan hasil terbaik ketika beraksi di depan kamera.

Ternyata pertaruhan yang dilakukan Netflix berbaloi selepas ia menjadi trending di seluruh dunia dan mendapat sambutan paling hebat.

Dalam pada itu, pelbagai respons netizen diperoleh selepas ia ditayangkan.

“Episod enam Squid Game telah membuatkan saya menangis. Ramai orang baik telah mati,” ciap seorang netizen di dalam Twitter.

Mula ditayangkan 17 September lalu, Squid Game bukan hanya menduduki tangga nombor satu senarai Top 10 Netflix, malahan drama bersiri popular Korea Selatan itu telah mendapat perhatian penonton dari seluruh dunia.

Squid Game merupakan sebuah drama bersiri sembilan episod arahan sutradara Dong-hyuk yang menceritakan bagaimana 456 peserta yang mempunyai masalah hutang direkrut untuk bermain dalam satu siri permainan yang sering dimainkan kanak-kanak.

Bagaimanapun, permainan yang mereka mainkan ini meragut nyawa jika kalah.

Hanya seorang peserta yang akan hidup dan memenanginya untuk membawa pulang wang bernilai 45.6 bilion won (RM161 juta).

Apa yang dimainkan juga cukup mudah kerana ia kelihatan permainan yang dimainkan semasa zaman kanak-kanak.

Namun, permainan masa kecil yang diselitkan dengan unsur kematian inilah yang membuatkan Squid Game menarik untuk ditonton.

“Orang ramai akan tertarik dengan ironi bahawa orang dewasa yang telah putus asa dalam hidup mempertaruhkan nyawa mereka untuk memenangkan permainan kanak-kanak.

“Permainannya sederhana dan mudah, sehingga penonton dapat lebih fokus pada setiap watak daripada peraturan permainan yang rumit,” jelas Dong-hyuk dalam satu wawancara bersama agensi berita Perbadanan Penyiaran British (BBC).

BANYAK orang menangis ketika menonton siri ini kerana menurut mereka, ramai orang baik mati disebabkan kalah ketika menyertai permainan ketika zaman kanak-kanak.

Selain itu, terdapat juga unsur nostalgia dalam drama bersiri tersebut.

Sebagai contoh, untuk permainan gula-gula Dalgona yang dimainkan dalam episod tiga Squid Game, ia adalah salah satu perkara yang paling diingati oleh orang Korea Selatan ketika kecil.

Dalam permainan itu, pemain mesti memotong bentuk yang dihasilkan pada gula-gula Dalgona dengan berhati-hati menggunakan sebatang jarum.

Sekiranya peserta mendapat bentuk yang sangat rumit dan gula-gula itu kemudian pecah sewaktu dipotong, ia dikira sebagai kalah.

“Squid Game ini membuat saya teringin makan gula-gula Dalgona kembali. Sudah 20 tahun berlalu adakah masih ada. Saya tidak rasa akan menjumpainya lagi,” ciap seorang natizen Korea Selatan di Twitter.

Dalam pada itu, sebanyak enam permainan dimainkan dalam drama bersiri itu termasuklah lampu merah, lampu hijau, gula-gula Dalgona, tarik tali, permainan guli, merentasi jambatan kaca dan terakhir adalah Squid Game.

Bagi permainan lampu merah, lampu hijau, pemain harus bergerak pantas menuju garisan penamat apabila pengawal menyebut perkataan ‘lampu hijau’.

Apabila pengawal mengatakan ‘lampu merah’, peserta harus menghentikan pergerakan mereka serta-merta.

Jika pengawal dapat mengesan sebarang pergerakan ketika lampu merah, peserta akan ditembak sehingga mati.

Selain itu, ada juga permainan tarik tali yang mana dalam Squid Game, peserta mempertaruhkan nyawa mereka.

Dua pasukan harus mengalahkan musuh mereka dengan menarik tali sekuat hati di atas jambatan yang sangat tinggi.

Pasukan yang kalah akan mati selepas semua ahli kumpulan terjatuh dari jambatan tersebut.

Dalam pada itu, Squid Game adalah permainan penghabisan yang dimainkan oleh dua peserta terakhir.

Untuk permainan ini, salah seorang pemain akan bertindak sebagai penyerang dan seorang lagi dalam posisi bertahan.

Penyerang perlu melepasi pertahanan untuk menang dan begitu sebaliknya.

Sekiranya salah seorang kalah, hanya maut menanti.

Hanya seorang peserta yang akan hidup dan memenangi wang berjumlah 45.6 bilion won (RM161 juta) dalam Squid Game.

Tidak dapat dinafikan, permainan yang dimainkan dalam Squid Game turut menjadi ikutan ramai orang di seluruh dunia.

Baru-baru ini, laporan daripada Agensi menyatakan, di Brussels, Belgium, ibu bapa digesa memantau tabiat menonton televisyen anak-anak susulan terdapat trend pelajar sekolah meniru permainan Squid Game itu.

Sebuah sekolah di Belgium telah mengeluarkan amaran kepada ibu bapa selepas pelajar seawal usia 11 tahun dilihat bermain permainan itu dan memukul pemain yang kalah.

Salah seorang pelajar memberitahu media tempatan, dia melihat seorang rakannya yang kalah telah dicampak ke atas tanah sebelum dipukul, mengakibatkan lengannya mengalami luka.

Selain itu, sebuah sekolah di Ilford, London turut dilaporkan terdapat pelajar di sekolah itu bermain beberapa permainan dalam siri Squid Game dalam versi sendiri.

Susulan itu, amaran dikeluarkan untuk menggantung persekolahan mana-mana pelajar yang ditangkap bermain permainan tersebut.

Sementara itu, Sekolah Sandown di bandar Kent, England melaksanakan kelas tambahan kepada kanak-kanak berusia lapan hingga 10 tahun.
Ia bagi mata pelajaran keselamatan online dalam memberi kesedaran tentang bahaya menonton kandungan yang tidak bersesuaian dengan umur kanak-kanak.

Siri Squid Game telah diberi penilaian yang bersesuaian untuk ditonton oleh individu berusia 15 tahun dan ke atas.

Namun, Netflix memberikan amaran kandungan bagi siri popular itu termasuk seksual, keganasan dan bunuh diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI