KOTA BHARU – Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) terpaksa menjalankan operasi menangkap 12 ekor lembu ternakan penduduk kampung yang berkeliaran di sekitar Taman Hijrah, Padang Kala, di sini selama dua hari berturut-turut.
Ini kerana, penguat kuasa (MDKPI) perlu berdepan dengan lembu yang naik minyak yang bertindar meliar dengan cuba menanduk mereka selain terpaksa mengharungi paya dan hampir jatuh ke dalam perigi buta.
Setiausaha MDKPI, Ahmad Fadzli Abdullah berkata, dalam tempoh dua hari, ada penguat kuasa cedera dan terseliuh kaki berdepan lembu yang mengamuk dengan rata-rata mereka mengalami lebam-lebam seluruh badan.
Menurutnya, usaha menangkap 12 lembu milik penternak berusia 68 tahun yang dibiarkan berkeliaran itu dibuat selepas penduduk mengadu haiwan itu menceroboh kebun, memakan anak pokok durian Musang King dan mengotorkan kawasan rumah mereka.
“Kita menerima aduan sudah lama, namun tidak dapat meneruskan operasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Operasi ini membabitkan 19 anggota MDKPI dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
“Operasi kedua dilakukan MDKPI tahun ini berkaitan tangkapan haiwan apabila kita berjaya menangkap tiga ekor lembu di kawasan sama serta dua ekor kambing di Kok Lanas pada bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Fadzli berkata, sebelum lembu itu ditangkap, pihaknya memberi notis amaran terlebih dulu kepada pemilik untuk menjaga ternakan dengan baik, namun jika aduan masih diterima selepas dua minggu, tangkapan akan dilakukan.
Katanya, sekiranya lembu ditangkap, pemilik perlu membayar denda sebanyak RM1,000 bagi setiap seekor jika mahu mendapatkan kembali haiwan ternakannya itu-K! ONLINE